MAJLIS HARI RAYA RISDA 2017
July 5, 2017
KAMAL AIZZAT (STAF PRB) SUMBANG EMAS PERTAMA SUKAN SEA 2017
August 16, 2017

BELIA TANPA SLIP GAJI BOLEH PINJAM MILIKI RBN

DUNGUN, 20 Julai (Bernama) -- Para belia luar bandar yang tidak mempunyai slip gaji kini berpeluang memiliki kediaman sendiri menerusi skim Rumah Bina Negara (RBN) yang diperkenalkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan perkara itu berkata kaedah itu bertujuan mengatasi masalah pemilikan rumah yang sering dihadapi golongan belia luar bandar. "Mereka ada pendapatan sendiri, bekerja sendiri, namun tiada slip gaji bulanan seperti yang diperlukan oleh bank untuk membuat pinjaman perumahan. "Jadi kerajaan yang prihatin dengan masalah mereka telah melakukan perundingan dengan Bank Negara dan hasilnya Agro Bank bersetuju memberikan pinjaman tanpa slip gaji kepada golongan ini berkuat kuasa serta merta," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran pembinaan rumah teres di Bandar Ketengah Jaya di sini hari ini. Turut hadir Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun, Datuk Din Adam dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Omar Ismail. Terdahulu ketika berucap di majlis sambutan Aidilfitri itu, Ismail Sabri berkata golongan belia yang mahu membuat pinjaman itu bagaimanapun perlu mendapatkan pengesahan daripada Wakil Rakyat, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR). "Ia hanya sebagai pengesahan bahawa pemohon itu mempunyai pendapatan untuk membayar ansuran bulanan rumah itu nanti. "Buat masa ini kelonggaran itu hanya terbuka untuk Rumah Bina Negara di bawah KKLW, namun sekiranya ada agensi lain yang mahu mengambil langkah serupa, kementerian sangat mengalu-alukan demi kebajikan golongan belia luar bandar," katanya. Pada majlis itu Ismail Sabri turut menyampaikan peralatan sokongan kepada pusat rehabilitasi, surat hak milik lot perumahan Ketengah dan sijil Skim Simpanan Pendidikan Nasional kepada anak-anak yatim. Lebih 10,000 pengunjung hadir ke majlis sambutan Aidilfitri itu yang bertujuan meraikan penduduk di sekitar Wilayah Ketengah. Pada tahun ini kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM200 juta kepada FELCRA dan RISDA (masing-masing RM100 juta) untuk pembinaan Rumah Bina Negara di seluruh Malaysia. Daripada jumlah itu, RISDA akan membina 5,000 unit rumah RBN yang dibina di atas tanah milik sendiri manakala FELCRA membina 2,000 unit RBN yang dibina secara berkelompok. Pemohon yang layak boleh memiliki rumah RBN yang dibina RISDA pada harga RM45,000 berbanding harga asal RM65,000 dengan kerajaan memperuntuk subsidi sebanyak RM20,000 bagi seunit rumah. Bagi rumah RBN yang dibina Felcra pula, pembeli hanya membayar RM75,000 berbanding RM125,000 harga asal dengan subsidi kerajaan RM50,000

Hafiz Zulkifli, KKLW Hari Ini
Sumber: BERNAMA